Isnin, 27 Januari 2014

Doakan saya menang, ujar Anwar


Sumber :  Sinar Harian             PETALING JAYA - Selepas diumumkan sebagai calon untuk Dun Kajang, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap beliau dapat memenangi kerusi tersebut. Menurutnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, beliau akan berusaha dan cuba sedaya upaya untuk memenangi pertandingan itu.

"Doa bersama, saya akan cuba," jawabnya ringkas tatkala pemberita mengajukan soalan adakah beliau yakin untuk memenangi kerusi tersebut di Ibu Pejabat PKR, di sini,  hari ini.  Pengumuman mengenai pemilihan Anwar sebagai calon dibuat oleh  Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.  Kerusi Dun Kajang kosong berikutan penyandangnya, Lee Chin Cheh dari PKR dengan meletakkan jawatan semalam.
  
Chin Cheh memenangi kerusi itu pada PRU Mei lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

Jumaat, 24 Januari 2014

PKR nafi Azmin ganti Khalid jadi MB


Sumber : Sinar Harian      PETALING JAYA - PKR menafikan laporan sebuah akhbar yang mendakwa Timbalan Presidennya, Azmin Ali bakal menggantikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.  Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat pada 15 Januari, isu tersebut tidak dibincangkan.

"Mesyuarat itu tidak membuat keputusan yang bersetuju untuk menggantikan beliau (Khalid). Kami memandang serius isi kandungan dan anggapan laporan akhbar itu," katanya pada sidang media, hari ini.

Menurutnya, mesyuarat tersebut membincangkan isu Selangor antaranya kenaikan yuran lesen perniagaan, isu air dan kenaikan elaun.

"Kami hanya bincang isu Selangor. Isu kenaikan yuran lesen perniagaan, penyusunan semula aset air Selangor...berkenaan Projek Langat 2 dan kenaikan elaun.  Tak bincang (lucut jawatan Menteri Besar). Jadi tak timbul isu Azmin ganti Khalid," katanya.  Namun, beliau akui melalui mesyuarat yang dipengerusikan Azmin itu, ada ahli yang menyuarakan pendirian keras iaitu melucutkan Khalid.

"Ada yang ambil pendirian ekstremis yang membawa kepada pelucutan Khalid. Empat atau lima orang daripada 55 ahli tapi adakah pandangan mereka menjadi keputusan mesyuarat? Tidak.  Itu lumrah dalam parti (pandangan ekstremis). Tapi ini pertama kali berlaku dalam mesyuarat (ahli menyatakan cadangan keras)," katanya.  Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa Azmin tidak pernah membawa usul agar Khalid dilucutkan jawatannya.

"Masa bincang tentang pelucutan Azmin (PKNS), Azmin pengerusikan mesyuarat itu tapi ketika bincang, beliau keluar dan diambil alih orang lain," katanya lagi.


Sabtu, 18 Januari 2014

'Mais jangan jadi alat politik'


Sumber : Sinar Harian       SHAH ALAM – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mengingatkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa agar tidak menjadi alat pihak tertentu sehingga mewujudkan ketegangan antara orang Islam dan Kristian.

Khalid berkata, tindakan serbuan dilakukan Jabatan Agama Islam (Jais) merampas kitab Bible di pejabat Persatuan Bible Malaysia (PBM) dianggap tiada alasan kukuh.

Menurutnya, kitab tersebut mempunyai cop pengesahan Kementerian Dalam Negeri diterbitkan untuk orang Kristian.

“Ia diterbitkan untuk orang Kristian dan disimpan di dalam pejabat tersebut. Adakah tindakan Mais itu sebahagian daripada strategi pihak tertentu wujudkan ketegangan,” katanya pada sidang media, semalam.