Jumaat, 21 Jun 2013

Anwar kekal ketua pembangkang


Sumber : Sinar Harian                                                                             KUALA LUMPUR- PR memutuskan untuk mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengetuai gabungan itu di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen ke-13 yang akan bermula minggu depan.

Anwar berkata keputusan itu telah diputuskan dalam perbincangan bersama Majlis Tertinggi Kepimpinan PR yang telah diadakan.  "Dalam perbincangan, saya diminta untuk menyambung tugas sebagai Ketua Parlimen PR bagi sesi ini," katanya secara ringkas pada sidang media, di ibu pejabat Pas, di sini, hari ini.
 
Sebelum ini, dilaporkan DAP yang mendapat kerusi terbanyak di Parlimen iaitu 38 kerusi telah mencadangkan penasihatnya, Lim Kit Siang menyandang jawatan ketua pembangkang.  Malah lazimnya, ketua parti yang paling banyak menang kerusi dilantik menjadi ketua pembangkang.  Bagaimanapun, Anwar dilihat "gentlemen" apabila menyatakan akan memberi laluan kepada Kit Siang jika dipilih menyandang jawatan tersebut.

Namun, PR punya persefahaman yang jelas berhubung jawatan ketua pembangkang setelah perikatan itu tewas kepada BN dalam pilihan raya umum, 5 Mei lalu.  Pas dan DAP memberikannya lampu hijau bagi meneruskan tanggungjawab yang digalasnya penggal lalu.   Pada PRU13 DAP berada di depan dengan 38 kerusi, PKR (30) dan Pas (21) kerusi Parlimen.

Isnin, 17 Jun 2013

Azhar Idrus: Petisyen BN kelakar

KUALA TERENGGANU – Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menyifatkan petisyen BN Kelantan mengaitkan beliau sebagai punca kekalahan BN di negeri itu pada PRU13 lalu sebagai kelakar.

Ikon agama itu dalam reaksinya berkata, perkara itu langsung tiada kena mengena dengan beliau kerana kenyataan berhubung ‘Haram jatuhkan kerajaan Islam’ yang dimainkan Pas pada kempen pilihan raya itu bukan kenyataan peribadi beliau, sebaliknya daripada al-Quran.

 
“Saya rasa kelakar sebab tiada kena mengena. Bukan saya berceramah (tetapi) ada dalam buku-buku agama (berkaitan), haram kita jatuhkan apa sahaja bernama Islam.
Tidak boleh,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas Majlis Jamuan Meraikan Ustaz Azhar Idrus anjuran Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT), di Padang Hiliran, semalam.

Memberitahu petisyen BN itu disedari melalui laman sosial Facebooknya, Azhar berkata, sekiranya kenyataan dibuat cenderung mempengaruhi rakyat tidak menjatuhkan kerajaan Kelantan, mungkin BN boleh mempertimbangkan untuk menjadikan beliau sebagai alasan.

“Kalau (kaitkan) benda itu saya rasa bukan. Itu dalam al-Quran. Yang boleh buat petisyen (kalau) saya kata ‘jangan jatuhkan kerajaan Kelantan’ tetapi (saya) tidak kata begitu. (Saya kata) jangan jatuhkan kerajaan Islam,” katanya.

Mengulas lanjut, Azhar yang turut dikenali dengan akronimnya UAI sekali lagi menegaskan, apa-apa sahaja perkara yang berbentuk Islamik tidak patut dihalang dan haram sama sekali menjatuhkannya.


Jumaat, 14 Jun 2013

Rafizi: Tak perlu layan puteri Umno

Sumber : Sinar Harian
PETALING JAYA - PR tidak perlu melayan cadangan ketua puteri Umno supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak diberi peluang mengetuai pembangkang susulan tindakannya memboikot Majlis Taklimat Parlimen kelmarin.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata Umno-BN tidak berhak mencampuri hal tersebut susulan pemilihan jawatan ketua pembangkang itu perlu mendapat persetujuan majoriti ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat nanti.
 
"Saya rasa kenyataan itu kebudak-budakan yang tidak padan dengan kedudukan seorang ketua puteri Umno. Lagi pun dia perlu jaga soal dalaman Umno dulu, yang lagi banyak bergolak ialah soal dalaman Umno.  Siapa yang kita lantik sebagai ketua Parlimen PR di Dewan Rakyat nanti, adalah keputusan yang dibuat oleh ketiga-tiga parti dan wakil rakyat kita, tidak ada kena mengena dengan dia,"   katanya kepada Sinar Harian Online di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin supaya pembangkang melantik ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa sebagai ketua pembangkang susulan tindakannya yang menghadiri majlis taklimat tersebut sekali gus dilihat lebih bertanggungjawab.  Teck Hwa kelmarin satu-satunya ahli Parlimen pembangkang yang hadir pada sesi taklimat selama lebih dua jam itu kerana merasakan ia majlis yang penting kepada dirinya.

Beberapa jam selepas memberi kenyataan itu, beliau meminta maaf kepada partinya, DAP kerana hadir ke majlis itu dan tidak meneliti mesej dan arahan supaya semua ahli Parlimen pembangkang memulaukannya.  Tindakan Teck Hwa itu mendapat pujian banyak pihak.