Selasa, 9 Julai 2013

Kontroversi RUU: Soi Lek salahkan menteri non-Muslim


Presiden MCA Dr Chua Soi Lek menuntut menteri bukan Islam menjelaskan bagaimana mereka boleh membenarkan Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 dibentangkan di Parlimen pada mulanya. Chua berkata, beliau percaya rang undang itu diteliti di kabinet terlebih dahulu sebelum dibentangkan di Parlimen untuk bacaan kali pertama.

"Saya tidak boleh faham bagaimana menteri kabinet bukan Islam tidak sedar perbezaan 'mother or father' (ibu atau bapa) dan 'parent' (ibu bapa) dalam Seksyen 107(b) dalam rang undang-undang itu sehingga ia dibentangkan di Parlimen.
 
"Menteri bukan Islam patut memberikan penjelasan kepada orang ramai bagaimana mereka boleh membenarkan rang undang-undang sensitif sebegini, yang melibatkan pertukaran agama kanak-kanak, diluluskan sebulat suara oleh kabinet."

Chua berkata, langkah itu mencetuskan kontroversi yang tidak perlu dan akan menjejaskan imej kerajaan BN.

Isnin, 8 Julai 2013

Pas umum calon PRK K.Besut malam esok

Sumber : Sinar Harian      KUALA TERENGGANU - Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengumumkan calon pilihan raya kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Besut di Markas Besar Pemuda, Kampung Nail Kuala Besut malam esok.

Pengarah PRK Dun Kuala Besut Pas, Satiful Bahri Mamat berkata Pas Terengganu menyenarai pendek beberapa calon yang layak dan terpulang kepada Pas Pusat untuk buat keputusan pada malam ini di Kuala Lumpur.

 
"Tuan Guru (Abdul Hadi)sendiri akan mengumumkan calon pada malam esok selepas solat tarawih pertama. Insya-Allah kami akan dapat keputusan malam ini dan selesaikan isu calon," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Esok, Barisan Nasional (BN) juga, menerusi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijadual mengumumkan calon parti itu berdasarkan kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK Dun Kuala Besut pada 24 Julai manakala penamaan calon pada 12 Julai.

PRK ini merupakan yang pertama selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berikutan wakil rakyat Kuala Besut Dr A. Rahman Mokhtar meninggal dunia pada 26 Jun akibat kanser paru-paru.
Dun Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi berdaftar. Pada PRU13, Dr Rahman mendapat majoriti 2,434 undi menewaskan calon Pas Napisah Ismail. - Bernama

Isnin, 1 Julai 2013

Nama Najib Razak Hilang

Sumber : Addin/Keadilandaily
KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seolah-olah cuba ‘dihilangkan’ dari disebut sepanjang rayuan perbicaraan silap oleh bekas pegawai polis, Sirul Azhar Umar.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata, keraguan utama adalah beberapa nama penting yang berkali-kali disebut mendiang Balasubramaniam.

Antaranya termasuk Menteri Pertahanan ketika yang mengeluar arahan jual beli kapal selam Scorpene oleh Altantuya, tidak langsung disebut dalam mahkamah.  Namun, tidak ada satu pun soalan menyebut nama Najib Razak, sedangkan namanya beberapa kali disebut di Mahkamah Antarabangsa Perancis.

“Di Perancis, perbicaraan dilakukan secara bebas, dan kita boleh faham rakyat Malaysia masih ada kebimbangan dan ketakutan untuk berbicara ke arah itu,” kata Sivarasa.   Dalam pada itu, Sivarasa mempersoalkan, sama ada pendakwaraya mahupun peguam bela, kedua pihak tidak pernah mempersoalkan motif pembunuhan.Sedangkan, motif pembunuhan adalah soalan penting dalam perbicaraan.

“Soalan yang ditanya langsung tidak menjurus kepada motif pembunuhan. Pembunuhan yang dilakukan secara terancang pasti mempunyai motif.  Jika keduanya tidak mempunyai motif, kita perlu selidik siapa yang mempunyai motif, untuk kita pergi kepada pendedahan yang lebih jelas,” katanya. ~keadilandaily