Rabu, 26 Jun 2013

Rayuan di tolak, Aidil “gagal main aksi final”piala FA


Sumber : Pahangdaily

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)  menolak rayuan Pasukan Johor Darul Takzim (JDT) berhubung kes pemain pertahannya, Aidil Zafuan yang dilayangkan kad merah ketika berdepan dengan Lions XII di Stadium Jalan Besar, Sabtu lalu. Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak berkata, penolakan kes Aidil berdasarkan kesalahan di bawah Perkara 35.3 (2) mengenai pergantungan secara automatik pemain yang dilayangkan kad kuning mahupun merah. Sehubungan itu katanya, pihak FAM secara langsung tidak mempunyai bidang kuasa untuk meminda hukuman yang telah dijatuhkan oleh pengadil perlawanan.

 "Layangan kad kuning dan kad merah adalah keputusan pengadil. Mana-mana pemain dilayangkan dua kad kuning digantung satu perlawanan namun bagi kad merah yang dilayangkan secara terus digantung dua perlawanan. "Peraturan ini diguna pakai di mana-mana liga seluruh dunia, cuma masalah yang berlaku ada sesetengah liga penggantungan dua perlawanan tidak melibatkan perlawanan kalah mati. "Namun dalam Kod Tatatertib FAM menjelaskan, mana-mana pemain yang bermain dalam Liga Malaysia seandainya dilayangkan dua kad kuning dan kad merah tidak boleh beraksi dalam saingan liga dan juga perlawanan kalah mati. "Bagi kes Aidil ini ia jelas di mana keputusan diambil tertakluk di bawah Perkara 35.3(2) dan FAM mengambil keputusan menolak rayuan tersebut serta hukuman gantung dua perlawanan kekal," katanya kepada para pemberita selepas beliau mempengerusikan mesyuarat tatatertib di Wisma FAM semalam.

Ahad, 23 Jun 2013

KJ umum dalam masa terdekat


Sumber : Sinar Harian                                                        PUTRAJAYA - Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini berkata beliau akan mengumumkan dalam masa terdekat sama ada akan mempertahankan jawatannya itu, pada pemilihan parti kali ini.
 
Khairy yang juga Menteri Beliau dan Sukan berkata, secara peribadi beliau tidak mempunyai masalah sekiranya jawatan Ketua Pemuda dipertandingkan dan  mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu bertanding.
 
"Saya sedia maklum cadangan dibuat rakan dalam jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno yang tidak mahu jawatan itu dipertandingkan dan meminta supaya saya terus pegang jawatan itu.  Sama ada saya akan bertanding pada pemilihan kali ini, itu saya akan umumkan kemudian,"   katanya kepada pemberita pada majlis penajaan Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 di pejabatnya di sini hari ini.
 
Beliau berkata atas dasar demokrasi yang diamalkan Umno sejak sekian lama beliau mengambil sikap terbuka terhadap pertandingan ketua Pergerakan itu.  Malah, Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata secara peribadi beliau tidak mempunyai masalah sekiranya jawatan Ketua Pemuda dipertandingkan dan mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu bertanding.  - Bernama

Jumaat, 21 Jun 2013

Anwar kekal ketua pembangkang


Sumber : Sinar Harian                                                                             KUALA LUMPUR- PR memutuskan untuk mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengetuai gabungan itu di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen ke-13 yang akan bermula minggu depan.

Anwar berkata keputusan itu telah diputuskan dalam perbincangan bersama Majlis Tertinggi Kepimpinan PR yang telah diadakan.  "Dalam perbincangan, saya diminta untuk menyambung tugas sebagai Ketua Parlimen PR bagi sesi ini," katanya secara ringkas pada sidang media, di ibu pejabat Pas, di sini, hari ini.
 
Sebelum ini, dilaporkan DAP yang mendapat kerusi terbanyak di Parlimen iaitu 38 kerusi telah mencadangkan penasihatnya, Lim Kit Siang menyandang jawatan ketua pembangkang.  Malah lazimnya, ketua parti yang paling banyak menang kerusi dilantik menjadi ketua pembangkang.  Bagaimanapun, Anwar dilihat "gentlemen" apabila menyatakan akan memberi laluan kepada Kit Siang jika dipilih menyandang jawatan tersebut.

Namun, PR punya persefahaman yang jelas berhubung jawatan ketua pembangkang setelah perikatan itu tewas kepada BN dalam pilihan raya umum, 5 Mei lalu.  Pas dan DAP memberikannya lampu hijau bagi meneruskan tanggungjawab yang digalasnya penggal lalu.   Pada PRU13 DAP berada di depan dengan 38 kerusi, PKR (30) dan Pas (21) kerusi Parlimen.