Rabu, 11 Jun 2014

Rombakan Kabinet: 'Saya tidak tahu'


Sumber : Sinar Harian           ASHGABAT - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak tahu menahu mengenai sebarang rombakan Kabinet dalam masa terdekat ini.
 
"Saya tidak tahu," katanya ketika ditanya wartawan Malaysia di sini, mengenai laporan sebuah akhbar harian mengenai kemungkinan rombakan Kabinet dilakukan pada Jumaat.

Najib berkata demikian pada sidang akhbar sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat pada Selasa malam, setelah melakukan lawatan rasmi yang kedua ke Turkmenistan.   Beliau diiringi isteri dalam lawatan dua hari itu.

 The Malay Mail, yang memetik sumber berkata Najib sedang menimbangkan rombakan besar dalam barisan pentadbirannya bukan hanya untuk membawa masuk Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong sahaja.
Barisan baharu itu dilaporkan mungkin diumumkan seawal Jumaat ini dan selewat-lewatnya selepas Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 28 Julai.  - Bernama


Selasa, 10 Jun 2014

MP Kuala Terengganu nafi muflis


Sumber : Sinar Harian          KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menafikan dakwaan kononnya beliau diisytiharkan muflis oleh sebuah mahkamah di Terengganu hari ini seperti yang tersebar di internet.

"Saya tidak tahu menahu isu ini dan tidak pernah terima surat saman bank atau apa-apa daripada peguam pun. Jadi macam mana nak isytihar saya begitu? Kes apa? Bank mana? Projek apa?," katanya kepada Bernama menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) malam ini.
Justeru katanya dakwaan tersebut tidak berasas kerana tiada bukti yang menunjukkan beliau muflis.

Raja Kamarul Bahrin berkata beliau terkejut apabila mengetahui perkara itu dan hairan dengan motifnya apabila ia tersebar luas menerusi beberapa blog serta laman sosial hari ini seolah-olah mahu menjatuhkan maruah dan reputasinya. 
"Insya-ALLAH saya akan buat PC (sidang akhbar) pada pukul 11.15 pagi esok di parlimen," katanya.
Pada PRU13, Raja Kamarul Bahrin yang bertanding atas tiket Pas meraih 45,828 undi menewaskan calon Barisan Nasional Mohd Zubir Embong (35,043) dan calon bebas Maimun Yusof (182) dengan majoriti 10,785 undi. - Bernama