Jumaat, 27 September 2013

S'gor kaji naikkan elaun guru Kafa kepada RM1,500


Sumber : Harakahdaily, 
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor sedang mangkaji dan merancang untuk menaikkan elaun guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) daripada RM1,300 kepada RM1,500 sebulan.

Exco Pendidikan Dr Halimah Ali berkata, ianya akan diperincikan secepat mungkin sesuai dengan Belanjawan Selangor 2014 yang memberi tambahan peruntukan dalam bidang pendidikan bagi memperkasa institusi pendidikan dan latihan kepada belia.                        
“Jumlah itu selaras dengan gaji minimum yang sebelum ini dua kali dinaikkan sejak Pakatan Rakyat memerintah negeri ini.   Lebih kurang 7,000 guru KAFA akan menerima manfaat,” katanya dipetik Selangorku.

Selain itu, beliau turut mengulangi komitmen kerajaan negeri yang akan menaikkan had kelayakan bagi mendapat hadiah masuk ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).  Had kelayakan tersebut dinaikkan dari keluarga berpendapatan RM1500 sebelum ini kepada yang berpendapatan RM3,000.  Menurut Halimah, ia bagi memberikan peluang lebih ramai menikmati bantuan itu.

Antara 2008 hingga 2013, Halimah berkata seramai 40,000 individu memohon mendapatkan hadiah itu tetapi hampir 10,000 permohonan ditolak kerana tidak mematuhi syarat.   Beliau berkata, golongan belia pula terus dibantu bagi mendapatkan latihan kemahiran bagi membantu mereka mendapatkan pekerjaan sesuai.      “Kita mahu tahap pembelajaran di negeri ini dalam keadaan kondusif sebagai sebuah negeri maju,” katanya.

Rabu, 25 September 2013

Mat Sabu: Bertanding bukan untuk singkir pemimpin


JAMILAH HAMZAH    -   26 September 2013

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menegaskan pertandingan yang diadakan di dalam parti itu bertujuan untuk memilih bukan cara untuk menyingkirkan pemimpin.  Menurutnya, pertandingan itu sepatutnya djadikan platform untuk menilai bukannya melabelkan pemimpin parti.

Beliau juga berkata, jika perkara itu terus berlaku masa depan Pas akan menjadi kabur.  "Ini trendnya dan saya hairan bagaimana ia muncul.  Jika tidak ditangani dengan baik dalam masa terdekat kita bimbang masa depan Pas yang dilihat cemerlang sekarang ini akan kabur di masa depan," katanya yang dipetik dalam The Malaysia Insider, hari ini.
 
Dalam pada itu, Mohamad juga berkata, perkara itu semakin menular dan menjadi penyakit di dalam parti seperti yang terjadi kepada Umno pada 1980 di mana parti itu melabelkan pemimpin dengan gelaran komunis.

"Abdullah Ahmad, Abdullah Majid dan Samad Ismail dilebelkan sebagai komunis. Tun Dr Mahathir pun nyaris ditangkap oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu, Ghazali Shafie," katanya.   Muktamar Pas ke-59 akan bermula pada 22 November depan.

Isnin, 23 September 2013

Mustafa tak bertanding Muktamar ke-59


Sumber : Sinar Harian         SHAH ALAM – Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mengesahkan dirinya tidak akan bertanding bagi mana-mana jawatan dalam Muktamar Tahunan ke-59, November depan.  Beliau akui mahu memberi ruang kepada calon muda untuk bertanding merebut jawatan dalam pemilihan tersebut.

“Saya tak bertanding. Pasti saya tak akan bertanding dalam pemilihan kali ini. Sebab...tak ada apa. Saya rasa bagi orang mudalah bertanding,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, meskipun ditawarkan untuk bertanding, beliau tidak akan menerima tawaran tersebut.  “Betul (jika ditawarkan juga tak akan terima). Memang sebelum ini pun saya tak bertanding, jadi, kali ini pun saya tak akan bertanding,” katanya.   Beliau yakin perwakilan Pas lebih tahu dan kenal siapa yang lebih layak untuk diberikan mandat, kali ini.

“Perwakilan lebih tahu dan kenal mereka. Mereka akan melihat siapa yang mereka rasa boleh diberikan mandat dan kepercayaan.  Yang lama campur yang baru. Bila saya sebut yang baru ini bukan tolak semua yang ada (lama). Campur-campurlah. Cuma saya dah melampaui waktu untuk bertanding,”   katanya.