Rabu, 11 September 2013

Saya cakap lain mereka tulis lain - TG Nik Aziz


Sumber : Harakah            KOTA BHARU: “Akhbar tulis tu tidak betul, saya cakap lain mereka tulis lain. Bukan saya sebut tidak perlu pilih bukan ulama, kerana semuanya dalam PAS dipanggil ulama.
“Profesional pun ulama juga, begitu juga ulama pun profesional. Sengaja ada pihak hendak sebut dua nama, sedangkan sebenarnya satu sahaja,” kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam reaksi terbarunya.  Beliau ditemui hari ini ketika menghadiri persidangan khas Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Baru-baru ini akhbar arus perdana cuba memberi gambaran Mursyidul Am mahu ulama dipilih menduduki jawatan Timbalan Presiden PAS.

Laporan tersebut dilihat banyak pihak seperti ada agenda tertentu bagi melaga-laganya kepemimpinan dalam PAS dengan mengasingkan golongan profesional dan ulama.  Polemik tersebut seperti sengaja diuar-uarkan memandangkan muktamar tahunan PAS dijangka berlangsung pada akhir November hadapan.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, ulama adalah mereka yang boleh bercakap dengan dalil al Quran dan Hadis biar pun bertali leher atau memakai songkok.

“Percakapan dia berdasar kepada al Quran dan Hadis. Ada pihak sekarang sengaja hendak pelaga-lagakan ulama dan professional. Mereka ini orang yang berfikiran kebangsaan. Ini bukan cara memberi ilmu kepada rakyat tentang gerakan Islam. Kita bangun berucap bukan pandai-pandai kita sendiri. Orang pertama yang membuat ucapan ialah Nabi Muhammad saw.   Jadi bila berucap kita sambung apa yang diberitahu Nabi Muhammad saw dengan membawa dalil al Quran dan Hadis. Ini barulah kita benar-benar jadi pendokong gerakan Islam, bukan sekadar ahli PAS sahaja,”  ujarnya.  
Oleh yang demikian katanya, mana-mana pemimpin PAS berucap hendaklah diikat dengan nas al Quran, Hadis dan Sirah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan