Selasa, 6 Mei 2014

DAP umum calon Bukit Gelugor Sabtu ini


Sumber : Sinar Harian            GEORGETOWN - DAP akan mengumumkan calon parti itu untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor Sabtu ini.
  
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pengumuman calon itu akan dibuat ketika perasmian bilik gerakan DAP sempena PRK itu di No 26 M, Jalan Masjid Negeri, di sini pada 12 tengah hari.
  
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung calon berkenaan.
  
"Kami mempertimbangkan lima calon yang dicadangkan jawatankuasa. Kami memberi keutamaan kepada calon yang dicadangkan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang. Kami tidak boleh bercakap mengenai siapa calon itu, sila tunggu sehingga 12 tengah hari, Sabtu," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat bersama jawatankuasa DAP negeri dan pusat, di sini, hari ini.
  
Sebelum ini, DAP Pulau Pinang menyenarai pendekkan lima nama calon bagi PKR Parlimen Bukit Gelugor yang akan diadakan 25 Mei ini. 
Kerusi Bukit Gelugor kosong berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP, akibat nahas jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak 17 April lepas.
  
Penamaan calon ditetapkan pada 12 Mei dan hari pengundian pada 25 Mei. Hari pengundian awal ditetapkan pada 21 Mei.  
Pengerusi DAP itu memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2013 dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon Barisan Nasional Teh Beng Yeam yang memperoleh 13,597 undi.  - Bernama
 

Isnin, 5 Mei 2014

MCA bankrap prinsip, tidak bertulang belakang


Sumber : Sinar Harian           SEREMBAN - Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke menyifatkan keputusan MCA untuk menyertai semula Kabinet, semalam jelas menggambarkan parti berkenaan sudah bankrap prinsip dan tidak bertulang belakang.

Menurut beliau, keputusan diumumkan Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai sama sekali bertentangan dengan janji mereka sebelum ini yang enggan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan, ekoran kekalahan teruk dalam PRU13 lalu.

“Lihatlah betapa hipokritnya parti ini. Mereka langsung tidak ada pendirian dan hanya gilakan jawatan kerajaan, terutama Menteri dan Timbalan Menteri, walhal masyarakat Cina yang mahu diwakili sudah pun menolak MCA sejak awal-awal lagi.

“Secara tidak langsung, tindakan tersebut membuktikan bahawa mereka hanya berpolitik demi kepentingan diri sendiri dan bukannya atas prinsip perjuangan untuk membela nasib kaum Cina di negara ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Kata Loke, beliau tidak nampak sebarang kesan positif daripada kemasukan semula MCA dalam Kabinet terhadap masyarakat, khususnya kaum Cina.

“Hakikatnya, MCA sudah tiada tempat dalam BN yang dikuasai Umno. Kemampuan parti ini untuk mempengaruhi dalam dasar kerajaan cukup terhad, memandangkan suara mereka langsung tidak didengari.

Lagipun, kata beliau, MCA sememangnya tidak layak menyertai semula Kabinet berikutan kredibiliti parti itu telah tercalar dalam PRU13 lalu yang menyaksikan masyarakat Cina sudah hilang keyakinan sepenuhnya kepada kepimpinan mereka.