Selasa, 6 Mei 2014
DAP umum calon Bukit Gelugor Sabtu ini
Sumber : Sinar Harian GEORGETOWN - DAP akan mengumumkan calon parti itu untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor Sabtu ini.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pengumuman calon itu akan dibuat ketika perasmian bilik gerakan DAP sempena PRK itu di No 26 M, Jalan Masjid Negeri, di sini pada 12 tengah hari.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung calon berkenaan.
"Kami mempertimbangkan lima calon yang dicadangkan jawatankuasa. Kami memberi keutamaan kepada calon yang dicadangkan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang. Kami tidak boleh bercakap mengenai siapa calon itu, sila tunggu sehingga 12 tengah hari, Sabtu," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat bersama jawatankuasa DAP negeri dan pusat, di sini, hari ini.
Sebelum ini, DAP Pulau Pinang menyenarai pendekkan lima nama calon bagi PKR Parlimen Bukit Gelugor yang akan diadakan 25 Mei ini.
Kerusi Bukit Gelugor kosong berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP, akibat nahas jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak 17 April lepas.
Penamaan calon ditetapkan pada 12 Mei dan hari pengundian pada 25 Mei. Hari pengundian awal ditetapkan pada 21 Mei.
Pengerusi DAP itu memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2013 dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon Barisan Nasional Teh Beng Yeam yang memperoleh 13,597 undi. - Bernama
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan