Selasa, 4 Februari 2014

SPR tetapkan 23 Mac PRK DUN Kajang


Sumber : Sinar Harian        PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan  23 Mac depan sebagai tarikh PRK Dun Kajang.  Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, semua yang terlibat dengan PRK Dun tersebut perlu mematuhi arahan yang telah ditetapkan.  Beliau juga berkata tarikh penamaan calon  akan bermula pada 11 Mac ini, manakala tarikh pengundi awal pada 19 Mac.

"Semua perlu mengikut arahan yang telah ditetapkan," katanya pada sidang media di bangunan SPR, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan bekas Adun Kajang, Lee Chin Cheh telah mengumumkan peletakan jawatan pada 27 Januari lalu, yang disahkan oleh Speker Dun Selangor, Hannah Yeoh.  Susulan itu, PR telah mengumumkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon untuk bertanding pada PRK Dun Kajang.

Manakala, BN masih belum memutuskan mana-mana calon untuk diletakkan di kawasan itu namun MCA telah menyatakan akan meletakkan calon daripada parti komponen tersebut.   Dalam pada itu, Abdul Aziz juga berkata, PRK Dun Kajang kali ini akan melibatkan 39,278 pengundi yang berdaftar.

"Jumlah pengundi itu ikut daftar pemilih induk pada 2012 bagi pilihan raya berkenaan dan digabungkan mengikut suku pertama, kedua dan ketiga 2012 yang dikemaskinikan sehingga 26 Januari, iaitu sehari sebelum peletakan jawatan tersebut," katanya.  Selain itu, beliau juga berkata, SPR akan memperuntukkan sebanyak RM1.6 juta pada PRK Dun Kajang dan melibatkan 673 orang petugas di 18 pusat pengundian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan