Khamis, 17 Oktober 2013

Tiada istilah profesional, ulama

Sumber : Sinar Harian                  KOTA BHARU – Tiada istilah profesional mahupun ulama yang perlu menjadi perbezaan dalam kepimpinan Pas terutamanya untuk memenuhi kelayakan memegang sesuatu jawatan.  Veteran Pas, Abdul Fattah Harun berkata, kesemua ahli Pas boleh diletakkan dalam golongan ulama dan mampu bertanding mana-mana jawatan, namun ia terletak pada individu itu sendiri sama ada beliau layak atau tidak untuk memegang jawatan yang dipilih.


 “Tuan Guru Nik Aziz ada menyatakan sebelum ini semua ahli Pas adalah golongan ulama, maka kita sudah sedia maklum dengan perkara tersebut, cuma pada saya, semua orang profesional, maka ia tiada beza.

“Seorang ulama memerlukan kriteria yang jelas cukup ilmu, meninggalkan segala larangan ALLAH SWT, memimpin masyarakat dengan betul, maka setiap pemimpin yang ada harus menilai diri sendiri sama ada layak atau tidak untuk memegang sebarang jawatan yang dipertandingkan,” katanya.

Beliau diminta mengulas isu ahli Pas yang dipecahkan kepada dua golongan profesional dan ulama yang mana turut dikaitkan dengan pencalonan jawatan tertinggi parti tersebut menjelang Muktamar Pas ke-59, November ini.   Menurutnya, beliau turut menyokong jawatan tertinggi, Presiden Pas masih dikekalkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang namun jawatan Timbalan Presiden yang kini dipegang Mohamad Sabu boleh dipertandingkan.

Abdul Fattah berkata, ia bukan bermakna pemimpin kedua itu tidak berkelayakan tetapi peluang perlu diberikan kepada orang lain yang juga mampu mengisi tanggungjawab memegang jawatan tersebut.

“Terpulang pada individu itu sendiri sama ada beliau rasa layak atau tidak. Cuma untuk jawatan tersebut (timbalan) ia masih boleh dipertandingkan.

"Sebelum ini pun terlalu banyak isu yang ditimbulkan pihak lawan, tapi itu bukan satu cabaran buat beliau (Mohamad Sabu), tapi cabaran sebenar adalah ulama Pas sendiri,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan