SHAH ALAM - Mahkamah Pilihan Raya di sini hari
ini menolak petisyen difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan
Parlimen Batu Pahat Dr Mohd Puad Zarkashi, yang dimenangi Parti Keadilan Rakyat
(PKR) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13)lepas.
Hakim Datuk Suraya Othman membuat keputusan itu selepas mendengar bantahan awal
oleh peguam yang mewakili pempetisyen, Haliza Abdullah, dan memerintahkan kos
RM20,000 dibayar kepada responden.
Responden Datuk Mohd Idris Jusi memenangi kerusi itu
dengan majoriti 1,732 undi. Suraya berkata pempetisyen gagal mengemukakan hujah
mengenai satu daripada isu dibangkitkan dalam bantahan awal itu bahawa jamuan
dianjurkan Mohd Idris sebelum hari pengundian adalah satu kesalahan di bawah
Seksyen 11(1)(b) Akta Kesalahan-kesalahan Pilihan Raya 1954. Beliau juga
memutuskan pempetisyen gagal mengemukakan hujah mengenai tarikh sebenar
pengundian awal yang diadakan pada 30 April, tetapi sekadar menyatakan pada 5
Mei.
"Tarikh pengundian awal tidak dihujahkan seperti ditetapkan di bawah
Peraturan 4(1) dan 4(4) akta itu," kata Suraya sambil menegaskan ia
merupakan kesilapan besar oleh pempetisyen.
Dalam petisyen itu, Mohd Puad hanya menamakan Mohd Idris, yang diwakili
peguam Edmund Bon, sebagai responden.
Sementara itu, Suraya menangguhkan pendengaran petisyen bagi kawasan Parlimen
Labis ke esok, kerana peguam yang mewakili pempetisyen S.Ramakrisnan, Gobind
Singh Deo membantah permohonan Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy untuk
mengemukakan bantahan awal. Narkunavathy
mengemukakan permohonan itu bagi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dan Pegawai
Pilihan Raya kawasan itu.
Ramakrishnan dari DAP kalah kepada calon BN Datuk Chua Tee Yong dengan majoriti
353 undi. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan