Isnin, 8 Julai 2013

Pas umum calon PRK K.Besut malam esok

Sumber : Sinar Harian      KUALA TERENGGANU - Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengumumkan calon pilihan raya kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Besut di Markas Besar Pemuda, Kampung Nail Kuala Besut malam esok.

Pengarah PRK Dun Kuala Besut Pas, Satiful Bahri Mamat berkata Pas Terengganu menyenarai pendek beberapa calon yang layak dan terpulang kepada Pas Pusat untuk buat keputusan pada malam ini di Kuala Lumpur.

 
"Tuan Guru (Abdul Hadi)sendiri akan mengumumkan calon pada malam esok selepas solat tarawih pertama. Insya-Allah kami akan dapat keputusan malam ini dan selesaikan isu calon," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Esok, Barisan Nasional (BN) juga, menerusi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijadual mengumumkan calon parti itu berdasarkan kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK Dun Kuala Besut pada 24 Julai manakala penamaan calon pada 12 Julai.

PRK ini merupakan yang pertama selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berikutan wakil rakyat Kuala Besut Dr A. Rahman Mokhtar meninggal dunia pada 26 Jun akibat kanser paru-paru.
Dun Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi berdaftar. Pada PRU13, Dr Rahman mendapat majoriti 2,434 undi menewaskan calon Pas Napisah Ismail. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan