Selasa, 29 April 2014

DAP senarai pendek 5 calon PRK Bukit Gelugor


Sumber : Sinar Harian           GEORGE TOWN:  DAP Pulau Pinang menyenaraipendekkan lima nama calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor yang akan diadakan pada 25 Mei depan.
Pengerusinya Chow Kon Yeow (gambar) berkata nama calon berkenaan akan diserahkan untuk dipertimbangkan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang akan bermesyuarat esok. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut berhubung senarai calon itu.
"Semua calon bukan Adun (Anggota Dewan Undangan Negeri)...tiada wakil rakyat dalam senarai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Tukar Barang sempena sambutan Hari Bumi 2014, di Lebuh Pantai di sini hari ini.

Chow juga enggan mengulas sama ada anak mendiang Karpal Singh turut disenarai pendekkan sebagai calon PKR itu. Spekulasi hangat menyatakan anak lelaki Karpal Singh, Ramkarpal atau anak perempuannya Sangeet Kaur Deo akan dipilih untuk bertanding kerusi Parlimen Bukit Gelugor yang majoriti pengundinya terdiri daripada kaum Cina.
Kerusi Bukit Gelugor kosong berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP, berikutan nahas jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak 17 April lepas.  Karpal Singh memenangi kerusi itu pada 2004 dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Lim Boo Chang dengan majoriti 1,261 undi.

Pada pilihan raya umum 2008, Karpal Singh mempertahankan kerusi Bukit Gelugor selepas menewaskan calon BN Datuk Koay Kar Huah dengan majoriti 21,015 undi dan memenanginya lagi pada 2013 dengan majoriti lebih besar 41,778 undi, mengalahkan calon BN Teh Beng Yeam.  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 Mei sebagai hari pengundian untuk PRK Parlimen Bukit Gelugor sementara hari pencalonan pada 12 Mei. Hari pengundian awal ditetapkan pada 21 Mei. - Bernama

Ahad, 27 April 2014

Bukit Gelugor kubu kuat DAP


Sumber : Sinar Harian         SHAH ALAM - Adalah sukar bagi BN menggugat kedudukan DAP di Parlimen Bukit Gelugor memandangkan parti itu berjaya memperoleh majoriti undi selesa pada PRU13 lalu.

Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, sudah tiga penggal DAP menguasai Parlimen itu dan ternyata mereka berjaya meningkatkan majoriti undi sejak 2004.

“Peningkatan majoriti yang mendadak membuktikan rakyat di kawasan itu menerima baik pimpinan DAP yang diterajui oleh Karpal Singh.


“Pada 2004, Karpal berjaya memperoleh majoriti undi sebanyak 1,261 undi. Beliau terus mendapat sokongan baik apabila menang selesa dengan majoriti besar iaitu 42,706 undi pada PRU13 lalu,” katanya, semalam. Menurut Sivamurugan,  bukan sahaja sokongan rakyat terhadap parti menjadi faktor kemenangan DAP dalam PRK kali ini,  tetapi faktor kematian Karpal yang tragis juga boleh menarik undi simpati orang ramai.

Katanya,  soal calon bukan masalah besar buat DAP kerana siapa pun yang diletakkan, parti itu mempunyai peluang cerah. Sivamurugan turut berpendapat adalah baik BN tidak meletakkan calon mereka kali ini dan lebih memfokuskan sasaran untuk PRU14.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika BN tetap mahu meletakkan calon, medan PRK kali ini boleh menjadi batu ukuran buat mereka khususnya MCA dari segi peningkatan sokongan masyarakat Cina terhadap parti itu.

“Di atas kertas peluang BN tipis, hanya bergantung pada bagaimana DAP mengurus isu berbangkit,” katanya

Rabu, 23 April 2014

Azizah: Anwar tarik diri kerana kekangan dalam RoS


Sumber : Sinar Harian    PETALING JAYA - Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakwa punca Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden PKR pada pemilihan parti itu ekoran kekangan yang terdapat dalam Akta Pertubuhan (ROS).

Azizah berkata, lantaran daripada hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan yang lalu Anwar sekaligus terpaksa membatalkan hasratnya untuk bertanding dalam pemilihan kali ini.


"Perkara ini berlaku (penarikan diri Anwar bertanding) calon presiden adalah ekoran keputusan Mahkamah Rayuan  lalu yang telah mensabitkan Anwar dengan kesalahan liwat.  Akibat daripada itu,Anwar terhalang bukan sahaja untuk bertanding di Dun Kajang, bahkan tidak boleh menerajui parti yang diasaskan oleh beliau sendiri," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Azizah melahirkan rasa syukur diatas kepercayaan ahli parti yang berterusan memberi kepercayaan kepada beliau untuk menerajui parti tersebut.

"Saya bersyukur kehadrat ALLAH dan berterima kasih kepada seluruh kepimpinan dan ahli parti PKR yang berterusan memberi kepercayaan kepada saya untuk meneruskan kepimpinan sebagai presiden parti," katanya.

Sementera menyentuh mengenai proses pemilihan parti pula, Azizah berkata setakat ini beliau sangat berpuas hati dengan perjalanan tersebut.

"Saya berpuas hati dengan pengurusan penamaan calon di peringkat Pusat dan Cabang, termasuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan wanita, yang berlangsung tanpa sebarang kekecohan. Alhamdulillah," katanya lagi.