Rabu, 2 April 2014

Anwar, Karpal masih dibenar hadiri Dewan Rakyat


Sumber : Sinar Harian           KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh masih dibenar menghadiri Dewan Rakyat sementara menunggu rayuan perbicaraan kes mahkamah masing-masing.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said berkata demikian selepas mendengar permintaan daripada Karpal semalam.

“Oleh kerana kedua-dua yang berhormat sudah membuat rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi. Eloklah menunggu keputusan mahkamah.

“Pada masa sama, saya akan merujuk perkara ini kepada Tan Sri Speaker untuk membuat undi kerana tiada arahan kepada saya setakat ini,” katanya.

Karpal sebelum itu meminta kebenaran kepada Ismail bagi mengesahkan kedudukannnya untuk berada di Dewan Rakyat setelah disabitkan hukuman denda RM4,000 dua minggu lalu.

“Adakah Dewan Rakyat akan memberikan keputusan di bawah peruntukan 53. Jika tiada keputusan boleh jadi saya tidak layak untuk duduk di dewan ini,” katanya.

Karpal bakal kehilangan kerusi Parlimen Bukit Gelugor selepas mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 kerana didapati bersalah mengeluarkan perkataan hasutan ke arah Sultan Perak ketika krisis perlembagaan pada 2009.  Sementara Anwar pada awal bulan lalu, didapati bersalah kerana meliwat pembantu peribadinya dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.

Karpal kini membawa kesnya di Mahkamah Rayuan sementara Anwar di Mahkamah Persekutuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan