Sumber
: Harakah BALING: Sifat manusia itu memerlukannya
mengejar masa untuk menyambung segala kebaikan dan tidak menangguh sebarang
kemaarufan, demikian dijelaskan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi
Awang. Beliau berkata demikian sebagai
menghurai tafsir surah al-'Asr pada Liqa' Pemuda di Madrasah Nurul Hidayah,
Kampung Tembak, Kuala Ketil di sini hari ini.
Pemuda serunya, perlu menggunakan masa muda yang penuh
keberanian, kekuatan dan semangat dengan memperbanyakkan beribadah,
bermasyarakat, berkasih sayang, menahan godaan nafsu, menafkahkan harta serta
berzikir. Katanya, walaupun manusia
berkemampuan membangunkan tamadun, manusia memerlukan petunjuk dan pertolongan
dari Allah SWT.
Oleh itu tegasnya, persoalan keimanan perlu menjadi perhatian utama dalam
menggerakkan agenda perjuangan dan disertai dengan istiqamah serta diperkuatkan
dengan amal. Iman terang Tuan Guru,
turut terkait dengan keadilan iaitulah keadilan menurut neraca Allah SWT. Sifat
itu katanya, terdapat kepada pemimpin yang menegakkan syariat Allah SWT.
Perjuangan dan amal itu terangnya lagi, akan menambahkan iman apatah lagi
apabila wujud pertembungan dengan musuh.
Selain itu, perjuangan juga hurai beliau, perlu digerakkan bersama
agenda kebajikan meliputi segala aspek muamalah manusia dan dalam mengurus
semua itu baik berhadapan cabaran dalaman mahupun luaran, mestilah dihadapi
dengan sabar kerana sabar itulah sifat takwa.
Demikian itu, tegas Ustaz Abdul Hadi, jangan ditangguh segala gerakerja
perjuangan dengan alasan berkaitan masa.
Mengakhiri pembentangan, beliau menghuraikan kepentingan untuk saling
mengingati dan berpesan kepada kebenaran serta kesabaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan