Ahad, 27 Januari 2013

Mukhriz belum pasti kerusi Parlimen atau Dun


Sumber : Sinar Harian

JERLUN - Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir masih belum pasti akan bertanding di kerusi Dun Kedah atau kekal di Parlimen Jerlun dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya, keputusan itu masih belum diputuskan pucuk pimpinan parti sama ada beliau kekal bertanding di kerusi Parlimen atau salah satu kerusi Dun di negeri ini untuk menewaskan pihak lawan.                                                                       “Saya tidak boleh membuat sebarang keputusan dan terserah kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tentukan kerusi yang layak dan patut ditanding.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, saya tidak ada sebarang halangan untuk bertanding di Dun atau Parlimen.

“Parlimen atau Dun, mana-mana pun boleh, saya tidak kisah. Bukan maksud untuk tanding di kedua-dua kerusi, tapi salah satulah,” katanya kepada media selepas lawatan bersiri ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Telaga Batu, di sini, semalam.

Tambahnya lagi, beliau sedia bertanding di mana-mana pun kerusi yang diputuskan pucuk pimpinan parti, asalkan Umno dan BN dapat kembali mentadbir Kedah selepas PRU13.
“Bagaimanapun, harapan saya adalah untuk tanding kekal di Parlimen Jerlun. Jadi kerusi Negeri dan Parlimen itu terpulang kepada pucuk pimpinan parti yang putuskan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan