Jumaat, 13 Mei 2011

Menteri 'gula' patut letak jawatan


Hazayani Zakaria    
GOMBAK,  11 Mei ;  Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mencadangkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,  Dato’ Seri Ismail Sabri meletakkan jawatannya kerana gagal membendung kenaikan harga barangan keperluan asas khususnya harga gula.
Ketuanya, Hasbullah Ridzwan (gambar) berkata kenaikan harga gula sebanyak 20 sen menjadikannya RM2.30 sekilogram berkuatkuasa semalam menunjukkan satu lagi kegagalan besar BN mengurus tadbir negara.

 
Kenaikan harga gula kali ini adalah yang keempat selepas kerajaan berbuat demikian sebanyak tiga kali pada tahun lalu iaitu pada Januari (20 sen), Julai (25 sen) dan Disember (20 sen).
Minggu lalu, harga petrol RON97 turut mengalami kenaikan sebanyak 20 sen menjadi RM2.90. Kerajaan bagaimanapun memberi jaminan bahawa harga barangan lain tidak akan naik ekoran kenaikan harga petrol ini.

Namun jaminan itu ternyata tidak boleh digunapakai apabila harga gula turut mengalami kenaikan.Kerajaan memberi alasan bahawa ia akan menjimatkan wang negara sebanyak RM116.6 juta setahun.
"Alasan kerajaan untuk mengurangkan subsidi dan digunakan untuk pembangunan lain hanyalah menyerlahkan sikap berlepas tangan dan mungkin BN sudah tidak cukup duit maka rakyat dipaksa menanggungnya," kata beliau pada sidang media di pejabat PAS Kawasan Gombak, dekat sini hari ini.

DPPNS juga tidak menolak kemungkinan harga barangan keperluan asas lain turut dinaikkan atas alasan merasionalisasikan subsidi kerajaan.  Sehubungan itu, DPPNS menyeru rakyat negeri itu menolak Umno BN dalam pilihan raya umum akan datang.
"Terbukti walaupun dengan kuasa di hujung tanduk BN tetap membelakangkan kepentingan rakyat. Slogan rakyat didahulukan hanya tinggal slogan sahaja tapi taukeh dan kroni tetap diutamakan," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha DAP kebangsaan, Lim Guan Eng berkata, jika nilai ringgit naik beerti harga barangan yang dimport akan turun. Ia termasuklah gula dan petrol kerana Malaysia menggunakan petrol yang diimport  kerana minyak yang dikeluarkan berkualiti tinggi dan sesuai untuk dieksport.
Nilai ringgit naik kepada bawah RM3.00 untuk satu dollar Amerika minggu lalu iaitu kenaikan tertinggi sejak diikat pada kadar RM3.60 untuk satu dollar Amerika sebelum ini.

Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli yang mengulas keniakan harga gula dari sudut kesihatan pula menolak pandangan sesetenagh pihak bahawa kenaikan harga ini akan mendorong rakyat mengurangkan pengambilan gula dan mengurangkan masalah kesihatan.
Katanya, rakyat akan tetap membeli gula walaupun harganya dinaikkan dan ini sudah tentu membebankan rakyat. Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyelar tindakan kerajaan memberi peruntukan RM111 juta untuk 2011 kepada Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) yang dipengerusikan oleh Datin Seri Rosmah Mansor tapi sangat berkira dalam soal pemberian subsidi kepada rakyat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan