Ahad, 4 Mac 2012

PAS cadang badan bebas siasat Peguam Negara

Sumber : Harakah
KUALA LUMPUR, 2 Mac: PAS mencadangkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail disiasat melalui satu badan bebas.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata demikian ekoran dakwaan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuf semalam bahawa Gani Patail telah memperguna Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga menyebabkan beliau dan pegawainya didakwa di mahkamah.

Sambil menyifatkan dakwaan itu suatu yang berat, Mahfuz berkata kerajaan perlu menjelaskan sama ada boleh atau tidak tribunal diadakan untuk menyiasat peguam negara.

"Pendedahan yang sangat berat yang menyentuh tentang institusi yang sepatutnya berlaku adil dalam memastikan bahawa satu-satu kes tidak berlaku konspirasi.

"Kalau dalam kes yang membabitkan hakim, satu tribunal boleh dibuat untuk menyiasat salah laku pihak hakim tetapi dalam kes yang membabitkan peguam negara boleh atau tidak tribunal diwujudkan, itu perlu mendapat penjelasan pihak kerajaan," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berkata, badan bebas itu sangat perlu bagi membersihkan imej Jabatan Peguam Negara.

"Kerajaan perlu bersihkan nama baik Jabatan Peguam Negara. Kalau tidak bermakna bahawa Jabatan Peguam Negara telah melakukan penganiayaan dalam banyak kes pendakwaan terhadap orang tertentu.
"Kalau sebelum ini kita telah didedahkan bagaimana ketua hakim begitu akur terhadap kehendak orang-orang politik, kemungkinan terdapat kes yang dikendalikan oleh hakim tidak dikendalikan secara adil," katanya lagi.

Ramli seperti dilaporkan Malaysiakini berkata, kesemua dakwaan yang dihadapinya itu bermula apabila pasukannya ditugaskan untuk mengambil tindakan ke atas seorang anggota sindiket yang dihantar ke Jeli, Kelantan untuk menjalani perintah tahanan terhad.
Lelaki didakwa terlibat dalam jenayah terancang, termasuk dalam kegiatan 'Along', loteri haram, pelacuran dan juga pengedaran dadah, kata Ramli.

"Maklumat ini telah diberikan oleh timbalan menteri dalam negeri pada waktu itu (Datuk Johari Baharom) dan perkara itu dianggap "rahsia tertinggi" dan kes yang amat sulit.

"Kemudian, saya diberitahu untuk melaporkan kepada beliau secara terus selepas fail tersebut (siasatan) dilengkapkan.
"Saya mengarahkan pegawai saya untuk (membuka) kes ke atas anggota sindiket itu, yang kemudiannya diserahkan kepada timbalan menteri berkenaan untuk tindakan di bawah perintah RR (tahanan terhad)," katanya sewaktu berucap di majlis sambutan hari lahirnya kelmarin.

"Bagaimanapun selepas nasihat Peguam Negara, anggota sindiket berkenaan kemudiannya dibebaskan, tanpa syarat," kata Ramli.
"Sebaliknya, pegawai saya didakwa kerana mengambil kenyataan palsu dan rekaan yang melibatkan ketua polis negara pada waktu itu (Tan Sri Musa Hassan).

"Pada masa itulah AG Gani Patail memanggil fail kes asal itu, yang diklasifikasikan sebagai sangat sulit, dan menyerahkan kepada SPRM untuk mengganggu saksi," kata Ramli lagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan