Rabu, 6 Mac 2013

PKR larang umum awal calon PRU13


Sumber : Sinar Harian

SHAH ALAM – Mana-mana ahli PKR yang mengumumkan diri sendiri sebagai calon untuk kerusi Parlimen atau Dun tertentu boleh dikenakan tindakan disiplin oleh parti.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, langkah itu diambil memandangkan keputusan muktamad berhubung calon PKR yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak adalah di bawah bidang kuasa pimpinan tertinggi parti.  Menurutnya, tindakan tegas akan diambil sekiranya PKR mempunyai bukti sahih seperti bergambar yang menunjukkan ahli parti melakukan kesalahan itu.

“Di Selangor, hanya ada dua kerusi saja yang diumumkan calonnya oleh Ketua Umum PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) iaitu di (Parlimen) Sabak Bernam dan Pandan. Sebelum ini, kita sudah beri peringatan, mereka (ahli) tidak boleh umumkan diri sendiri bahawa mereka tercalon di mana-mana kerusi.
"Saya berharap tidak wujud pengumuman (calon oleh ahli parti sendiri kerana) ia di luar bidang kuasa mereka,” katanya ketika diminta mengulas berhubung isu pengumuman calon parti.

Mengulas mengenai hasrat Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang meminta Pakatan Rakyat (PR) memberi laluan kepada mereka untuk bertanding di Dun Semenyih dan Kota Damansara, Shuhaimi menyerahkan keputusan itu kepada pemimpin tertinggi parti.   Beliau berkata, pembahagian kerusi PR di Selangor telah selesai dan tiada pertindihan berlaku dengan rakan komponen parti lain memandangkan ia kekal dengan status quo seperti 2008.
“Kalau ada permintaan (tukar kerusi) atau isu berbangkit, ia terserah kepada kepimpinan Majlis Pimpinan PR dan Majlis Presiden (PR) untuk memuktamadkan isu tersebut,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), PSM bertanding di dua kerusi Dun berkenaan menggunakan lambang PKR.  Bagaimanapun, Ahad lalu, Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan dilaporkan meminta PR memberikan laluan kepada calon daripada parti tersebut untuk bertanding di dua kerusi berkenaan, di samping kerusi  bagi Parlimen Sungai Siput dan Dun Jelapang di Perak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan