Rabu, 26 Oktober 2011

Selamatkan Malaysia dengan himpunan Bersih 3.0


Oleh AMNI JAGAT

Tak kiralah tarikhnya bila. Yang pentingnya Malaysia harus diselamatkan. Kerajaan Malaysia hari ini harus ditegur dengan cara yang lebih berkesan. Himpunan adalah medium yang terbaik untuk menyedarkan pemimpin Malaysia tentang hak rakyat sebagai warganegara.
Saya bersetuju dengan Ahmad Lutfi Othman (Catatan Hujung, 17 Okt), bahawa Bersih 3.0 mungkin pilihan terbaik buat kita.

Isu-isu yang berbangkit setiap hari menunjukkan graf pentadbiran dan kepimpinan di Malaysia semakin parah. Isu seperti pemberian kerakyatan kepada warga asing dengan mudah, serta isu warga asing diberi hak untuk mengundi, adalah cermin betapa kotor dan tirisnya rasa cinta pada negara di kalangan pemimpin.

Dalam artikel di Harakahdaily, "Kerakyatan Malaysia seperti membeli ikan di pasar", saya gariskan beberapa perkara songsang dalam sistem penerimaan terhadap warga asing sebagai rakyat di Malaysia. Isu seperti isu Mismah masih tidak berjaya ditangani pemimpin negara dengan baik. Sehingga kini kenyataan Mismah yang tidak mengaku pernah mengisi borang sebagai daftar pemilih masih belum terjawab.

Kenyataan  Menteri Dalam Negeri untuk bertemu Perdana Menteri Bangladesh berhubung isu rakyat Bangladesh diberi hak kerakyatan Malaysia itu pun masih belum berhujung.  Dalam isu terbaru, tujuh buah bas dipercayai mengangkut warga asing untuk mengambil 'Mykad' di Putrajaya, berjaya dikesan. Segala dokumen untuk menerima 'Mykad' telah siap di tangan masing-masing. Namun ia dinafikan pihak polis.

Aksi menggadai atau melacur maruah negara ini perlu dibendung. Mereka yang melakukannya langsung tak ada tanggungjawab dan rasa cinta pada negara. Yang ada hanya tamakkan kerusi kepimpinan yang mereka kecapi, agar tidak terlepas.

Ini satu bencana serius yang pasti menggugat semangat cintakan negara, bahkan keselamatan negara, di samping ruang pekerjaan menjadi saingan sengit antara rakyat asal dengan warga asing. Apakah fenomena ini wajar dibiarkan terus berleluasa?

Seperti kata Ahmad Lutfi, mungkin suara keramat rakyat melalui Bersih 3.0 diperlukan lagi bagi menegur kepimpinan negara, agar maruah Malaysia dapat dipertahankan. Sasaran kali ini adalah untuk menyelamatkan Malaysia dari longgokan warga asing yang diberi hak kerakyatan secara membuta tuli, untuk kemenangan mereka dalam PRU13 itu.

Inilah medan sejarah hitam yang perlu dijernihkan. Bukan untuk menyelamatkan sesuatu fahaman atau kuasa politik, tetapi untuk menyelamatkan negara yang kita cintai - Malaysia 'tanah tumpahnya darahku'.
Sejarah membuktikan penglibatan profesional, para intelektual dan rakyat marhaen berjaya merubah sistem pendidikan yang menindas sewaktu GMP (Gerakan Mansuh PPSMI) turun ke jalan raya. Implikasi himpunan itu, pada 2012, PPSMI akan dimansuhkan.

Sejarah himpunan GMI (Gerakan Mansuh ISA) dan GERAMM (Gerakan Rakyat Anti Manipulasi Minyak) berjaya merubah sistem pentadbiran untuk lebih memfokus kepada kehendak rakyat. Hari ini hasilnya ISA akan dimansuhkan, dan harga minyak mungkin akan diturunkan  pada paras yang tidak terlalu membebankan rakyat.

Tamadun sesebuah negara akan pupus kalau dibiarkan pemimpin yang tidak menghiraukan kesan buruk berlaku demi mencapai cita-cita peribadi mereka. Buku Il Prinsiple (Sang Penguasa) karya Niccolo Macheavelli (1532M) menggariskan kata-katanya: "Yang sangat penting ialah bahwa ia melakukan segala sesuatu yang perlu untuk mempertahankan kekuasaannya. Kerana itu segala jalan yang haram dihalalkan demi mencapai tujuan (cita-cita dan matlamat)."

Fahaman Macheavellian ini sedang bertakhta di minda pemimpin Umno-BN. Semangat demi agama, bangsa dan negara sanggup digadaikan bagi mencapai matlamat peribadi.
Oleh itu suara kebangkitan rakyat amat diperlukan untuk mempertahankan hak mereka sebagai warganegara, demi mempertahankan semangat kecintaan terhadap negara Malaysia. Rakyat perlu bersedia bila-bila masa sahaja untuk bersama menyertai himpunan Bersih 3.0.

RAKYAT MARHAEN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan