Ahad, 16 September 2012

Lebih baik sekular daripada politikkan agama


Sumber: Sinar Harian
 
SHAH ALAM - Politik dan agama sememangnya wajar digabungkan kerana agama akan membimbing politik, kata bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Bagaimanapun katanya, pada dirinya sendiri, beliau lebih rela hidup di negara sekular daripada membiarkan agama dijadikan alat politik oleh pihak yang berkepentingan politik.

“Saya lebih rela negara sekular, saya lebih suka negara yang memisahkan agama daripada politik kalau agama digunakan untuk kepentingan politik. Sekurangnya agama kita selamat, yang kena orang politik sahaja," katanya.
 
Beliau turut membidas tindakan sesetengah pihak yang menggunakan perkataan kafir harbi, sedangkan menurut ulama terulung, Dr Yusuf Al-Qardhawi, istilah itu hanya untuk Zionis Israel sahaja. Beliau berkata, penggunaan kafir harbi memerlukan perbincangan kerana hanya mereka yang layak berhak untuk membuat keputusan menentukan siapa kafir harbi.

"Ini juga masalah media. Hanya kerana kawan itu pakai serban dan ada (sekolah) pondok, dia belum berhak untuk membuat keputusan yang besar seperti itu. Ada kesan besar apabila mengatakan orang kafir harbi. Dr Yusuf Qaradhawi kata negara kafir harbi hanya Israel sahaja. Amerika Syarikat tidak termasuk kerana terlibat dengan perjanjian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan sebagainya,"  katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Fiqh Politik Islam Semasa di sini, semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan