Isnin, 14 Mei 2012

Pakatan Rakyat tidak boikot PRU13: Saifuddin


Sumber : Sinar Harian
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada bila-bila masa dan tidak akan memboikotnya walaupun diadakan dalam waktu terdekat.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua jenteranya sudah lama membuat persiapan untuk bertanding dalam PRU13.

Menurutnya, PKR khususnya dan PR amnya, akur dengan tarikh PRU13 walaupun mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum telus dalam menjalankan tugas mereka sebagai badan berkecuali.

Katanya, PKR tidak akan membiarkan calon-calon Barisan Nasional (BN) menang tanpa bertanding. “Rakyat sudah tahu keadaan politik di negara ini. Jadi untuk mengurangkan mudaratnya institusi politik itu, PKR sudah siap sedia dan hanya menunggu tarikh yang akan diumumkan.

“Jika ditakdirkan PRU13 diadakan esok, kami tidak gentar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.  Jelasnya, dalam apa juga keadaan, PKR tidak akan tunduk kepada permainan politik BN dan berharap rakyat menerima perubahan.

Sinar Harian semalam melaporkan, ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan ulang tahun Umno ke-66, menimbulkan cakap-cakap kemungkinan Najib akan bertemu Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada masa terdekat untuk mendapatkan perkenan baginda bagi membubarkan Parlimen.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan