Isnin, 18 Jun 2012

Debat Sinar: Penonton diingat jangan emosi


HASLINA KAMALUDIN
SHAH ALAM - Sempena Debat Sinar yang berlangsung hari ini, semua jemputan yang menerima undangan secara rasmi diminta supaya menjaga etika dan disiplin diri sepanjang berlangsungnya program itu.

Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali berkata, debat siri kedua ini, mempertemukan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub.

Menurutnya, debat dua pemimpin ini adalah sebagai medium pertembungan idea dan perlu diterima dengan hati terbuka.

"Semua penonton rata-ratanya sudah biasa dengan aktiviti sebegini dan wajar menunjukkan sikap profesional tanpa menimbulkan sebarang perkara yang boleh mencacatkan majlis berkenaan. Saya yakin penonton yang hadir adalah di kalangan mereka yang berilmu. Jadi hadir ke majlis ilmu untuk mendengar pandanganpanel dan mempertimbangkan idea yang diutarakan.  Debat ini boleh dijadikan sebagai batu asas untuk mereka berfikir. Jangan sesekali bertindak di luar kawalan.  Perlu diingat, debat ini ini bukan mahu menyerang manamana parti. Ia cuma wadah untuk menyampaikan pandangan mengenai tajuk yang dibincangkan,"  katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Debat Sinar berlangsung di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam itu dikendalikan Pensyarah Jabatan Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar.  Sementara itu, Abd Jalil berkata, walaupun tajuk debat, Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi ia bukan akan menegangkan situasi,sebaliknya penonton perlu bersikap rasional dan tidak wajar beremosi sepanjang satu jam setengah majlis berlangsung.

"Seperti yang dinyatakan, debat adalah medan pertembungan idea. Di sini, akan wujud banyak pendapat daripada kedua-dua panel.  Oleh itu, sewajarnya penonton boleh menerima setiap pendapat tanpa bersikap prejudis. Inilah tujuan Sinar Harian mengadakan sesi debat ini. Ia secara tidak langsung akan membuka minda penonton mengenai isu ini dan dapat membuat penilaian sendiri," katanya.
Menurutnya, penganjur juga melarang memakai pakaian yang menunjukkan lambang sesebuah parti atau pertubuhan dan mereka berhak untuk mengambil tindakan kepada penonton yang tidak memberikan kerjasama.
Abd Jalil berkata, penonton diingatkan hadir satu jam lebih awal bagi mengelakkan kesesakandi dalam auditorium.  Sumber : Sinat Harian



1 ulasan:

  1. ermmmm...bilalah nak berpeluang tengok debat DSAI vs PM....

    BalasPadam